17 November 2025 – Alor Setar: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman, telah berkenan menerima mengadap rombongan Yayasan Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah (MTS) Malaysia di Balai Mengadap Besar, Istana Anak Bukit.
Rombongan diketuai oleh YBhg. Tan Sri Syed Zainal Abidin bin Syed Muhamad Tahir, Penasihat Yayasan MTS Malaysia, Pengetua MTS Malaysia Semenanjung , Pengerusi MTS Langkawi, Pengerusi MTS Brunei serta Ahli Jawatankuasa MTS Kedah .
Dalam sesi mengadap ini, pihak MTS telah menyembahkan pembentangan khas kepada Tuanku mengenai perkembangan MTS di seluruh negara, dengan fokus kepada negeri Kedah . Antara perkara yang dipersembahkan ialah jumlah cawangan MTS di Kedah, perkembangan operasi pendidikan, selain maklumat mengenai anak-anak jati Kedah yang telah menamatkan hafazan Al-Quranul Karim di MTS dan seterusnya melanjutkan pengajian ke Turki. MTS turut mempersembahkan data anak Kedah yang kini berkhidmat di luar negara untuk berkhidmat kepada Al-Quranul Karim.
Sesi mengadap ini juga menjadi kesempatan bagi MTS menzahirkan sejarah hubungan istimewa Institusi Diraja Kedah dengan MTS. Pada tahun 2012 , ketika bergelar Tengku Temenggung, Tuanku pernah berkenan merasmikan MTS Kuala Nerang. Dari detik bersejarah itulah hubungan Tuanku dengan MTS bermula, sekaligus menjadi sokongan moral yang besar kepada perkembangan MTS di bumi Kedah.
Pihak MTS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan sembah terima kasih kepada Kebawah DYMM Tuanku atas keprihatinan, titah pandangan serta sokongan terhadap usaha memartabatkan pendidikan Al-Quranul Karim . Doa dipanjatkan agar Allah SWT sentiasa memelihara Tuanku dengan kesihatan dan kemuliaan berpanjangan.
Semoga ziarah mahabbah ini menjadi pemangkin kerjasama lebih erat antara MAIK, MTS dan Institusi Diraja Kedah dalam agenda pendidikan, tarbiah dan kebajikan ummah.
Pihak Pengurusan
Yayasan Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Malaysia
