KUNJUNGAN RASMI TEAM KLINIK UTAMA KE MTS HQ SHAH ALAM

Alhamdulillah, pada 28 Oktober 2025, Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah HQ Shah Alam telah menerima kunjungan istimewa daripada Team Klinik Utama, rangkaian kesihatan yang kini mempunyai lebih 60 cawangan di seluruh Malaysia.

Pertemuan penuh keberkatan ini menjadi titik permulaan jalinan kolaborasi strategik antara Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah (MTS) dan Klinik Utama dalam pelbagai bidang seperti perubatan, pendidikan, dakwah dan khidmat sosial.

🤝

 Antara perkara utama yang dibincangkan ialah komitmen Klinik Utama untuk memberikan perkhidmatan perubatan percuma kepada seluruh pelajar dan kakitangan MTS di semua cawangan. Inisiatif ini hadir sebagai tanda kasih dan penghormatan kepada insan paling mulia di muka bumi — para Huffaz Al-Quranul Karim.

Selain itu, kedua-dua pihak turut berbincang tentang pelaksanaan SOP dan aspek teknikal bagi memudahkan para pelajar MTS mendapatkan rawatan yang diperlukan, agar ibu bapa tidak perlu risau tentang kebajikan dan kesihatan anak-anak mereka semasa menuntut ilmu.

Sebagai bentuk kolaborasi dua hala, MTS akan menyediakan platform keagamaan dan kerohanian bagi warga Klinik Utama — termasuk ceramah agama, kelas mengaji, serta majlis kerohanian berkala. Dalam masa yang sama, Klinik Utama akan dijemput untuk berkongsi manfaat melalui seminar kesihatan, antaranya latihan CPR, kesedaran bahaya rokok dan vape, serta ceramah penjagaan kesihatan buat seluruh warga MTS.

Bagi pihak Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Malaysia, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas niat tulus serta usaha ikhlas pihak Team Klinik Utama dalam menjunjung martabat Ahli Al-Quranul Karim.

🤲

 Semoga segala langkah dan usaha murni ini sentiasa dipermudahkan oleh Allah SWT, dilimpahi keberkatan dan diganjari kemuliaan sebagaimana kemuliaan yang dikurniakan kepada para Huffaz Al-Quranul Karim.

Moga ukhuwah dan kerjasama ini terus subur hingga ke akhirat kelak — dan sebagaimana Allah SWT mempertemukan kita di dunia dalam urusan kebaikan, semoga Allah SWT juga mempertemukan kita di Syurga-Nya yang penuh kemuliaan.

Leave a Comment

mtszakat@gmail.com
+60 16 800 9600

Hubungi Kami

No, 17 (B), Jalan Tengku Ampuan Zabedah F 9/F, Section 9, 40100 Shah Alam, Selangor

Isnin – Sabtu: 9:00am –  6:00pm
Ahad: Tutup

Gallery

Tentang Pusat Zakat MY

Pusat Zakat MY adalah platform online pembayaran zakat secara mudah, pantas dan dipercayai.Dikendalikan oleh Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah selaku Penolong Amil Bertauliah Lembaga Zakat Selangor (LZS)